PONTIAN -"Barang kemas sudah dijual begitu juga dengan duit simpanan sudah dikeluarkan bagi menampung kos rawatan ibu sebanyak RM17,800,” kata Nuraini Selamat, 34.
Anak sulung dari tujuh beradik itu cukup sedih memikirkan keadaan ibunya, Sarti Nakimon, 49, yang perlu menjalani pelbagai rawatan dan pembedahan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal bulan lepas.
Nuraini berkata, kemalangan ketika ibunya dalam perjalanan ke kebun kelapa sawit itu dipercayai berlaku ketika hendak mengelak babi hutan.
"Ibu menunggang motosikal seorang diri ketika itu. Memang biasa ibu ke kebun seorang diri. Tetapi tak sangka pula ibu akan ditimpa kemalangan.
"Ada penduduk kampung yang membantu ibu sebelum ayah, Selamat Surahman, 52, tiba di tempat ibu kemalangan. Ibu terus dibawa ke Hospital Pontian sebelum dipindahkan ke hospital di Johor Bahru,” katanya.
Akibat kemalangan itu, ibunya mengalami pendarahan di dalam kepala, patah tulang bahu dan tulang tangan kiri serta kanan.
"Ibu terpaksa menjalani pembedahan kerana terdapat pendarahan di kepala. Keadaan ibu stabil selepas pembedahan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Nuraini berkata, ibunya masih perlu menjalani pembedahan bagi menebuk saluran pernafasan.
"Kemungkinan ibu akan bergantung kepada alat pernafasan. Kos rawatan dijangka akan terus meningkat,” katanya.
Nuraini berkata, dia buntu memikirkan kos rawatan ibunya pada masa akan datang memandangkan kos sebelum ini sudah mencecah RM17,800.
"Duit simpanan dan barang kemas yang dijual sebenarnya masih tak cukup sebelum ini.
"Saya terpaksa pinjam majikan dan saudara mara. Selain itu ada juga saudara mara dan penduduk kampung yang hulurkan bantuan dapatlah ringankan beban kami ketika itu,” katanya.
Menurut Nuraini yang bekerja swasta, dia bercadang hendak mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bagi membantu ibunya.
"Saya memang bercadang hendak keluarkan duit KWSP saya untuk tampung kos rawatan ibu, itupun jika pengeluaran boleh dibuat,” katanya.
Sementara itu bagi bapanya, Selamat Surahman, 52, dia amat terharu dengan pengorbanan anak-anak memastikan ibu mereka mendapatkan rawatan meskipun berdepan masalah kewangan.
Katanya, pendapatan hasil mengambil upah bekerja di kebun kelapa sawit tidak menentu.
Ini menyebabkan dia tidak dapat menyiapkan rumah baharu mereka bagi menggantikan rumah lama yang terbakar dua tahun lepas.
"Sepatutnya rumah baharu sudah siap dalam tempoh setahun selepas ia dibina, tetapi memandangkan tidak cukup wang, kerja-kerja pembinaanya terpaksa ditanggungkan.
"Memang sedih lihat rumah untuk isteri dan anak berteduh masih tidak siap,” katanya.
Jelasnya, rumah sementara yang dibina menggunakan kayu dan bahan terpakai dijadikan tempat dia bersama isteri dan anak-anak berteduh.
"Dua orang anak masih bersekolah iaitu Siti Norramadani, 13, dan Zuraini, 12. Ada anak-anak yang masih belum berkahwin tinggal bersama kami.
"Manakala yang sudah berumah tangga tinggal bersama keluarga masing-masing di sekitar Pontian,” katanya.
Sementara itu, sukarelawan Amal Team Johor, Nurul Azwana Nordin turut menziarahi keluarga Selamat dan Sarti Nakimon di hospital.
Katanya, usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan bantuan sewajarnya dari agensi kerajaan terlibat bagi menampung kos rawatan Sarti.
Kepada yang ingin hulurkan bantuan boleh salurkan sumbangan ke akuan Maybank 151155020488.