PRU15 akan cetus gelombang keempat Covid-19

Iklan
Hassan (kanan) menyerahan baucar kepada penerima bantuan Program Balik Ke Sekolah Parlimen Pasir Gudang di Pasaraya Borong Sakan Masai, Pasir Gudang pada Jumaat.

PASIR GUDANG - Gesaan UMNO agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 disifatkan sebagai gila kuasa sekali gus akan mencetuskan gelombang keempat penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, UMNO hanya mementingkan nafsu politik mereka untuk kembali berkuasa dan mengenepikan kepentingan rakyat yang kini sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Iklan
Iklan

"Ini (adakan PRU15) adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. UMNO kalau nak buat keputusan yang 'betul', jangan teragak-agak. Sekejap nak PRU, sekejap nak tarik balik sokongan (terhadap kerajaan Perikatan Nasional) tapi tak tarik juga.

"Sekejap nak sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim (jadi Perdana Menteri) tapi lepas tu tak sokong pun. Sekejap nak menentang Belanjawan 2021 tapi tak tentang juga. Bagi saya, orang sudah tidak hormati keputusan UMNO," katanya.

Iklan

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Balik Ke Sekolah Parlimen Pasir Gudang di Pasaraya Borong Sakan Masai di sini pada Jumaat.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada Rabu, antaranya menggesa PRU15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Iklan

MKT juga mahu usul-usul utama yang dibangkitkan majoriti besar UMNO bahagian dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Disember hingga 3 Januari lalu diberi perhatian antaranya memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa menghadapi PRU15.

Hassan berkata, dalam keadaan sekarang negara masih perlu sebuah kerajaan walaupun kerajaan yang ada sekarang ini dikatakan kerajaan pintu belakang, kerajaan tebuk atap atau kerajaan yang tiada mandat rakyat.

"Ini adalah kerajaan yang dibenarkan undang-undang walaupun daripada segi moralnya boleh dipersoalkan. Bayangkan tiba-tiba kita adakan PRU15 dengan kerajaan sementara dan Perdana Menteri Interim dilantik, kes Covid-19 akan meningkat.

"Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik Perdana Menteri Interim, ini akan memberi kesan, bayangkan semasa Muhyiddin dan Kabinetnya ada pun tidak dapat kawal Covid-19, apatah lagi Muhyiddin yang dilantik Perdana Menteri Interim dengan tidak ada Kabinet," katanya.

Katanya, Muhyiddin perlu mengikut nasihat Kementerian Kesihatan dan perkembangan terkini Covid-19 termasuk pertimbangan membuka sempadan Malaysia-Singapura kerana negara mencatatkan lebih 3,000 kes ketika ini.

Tambahnya, Perdana Menteri tidak seharusnya membuat 'keputusan politik' apabila menguruskan pandemik itu sebaliknya mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat, jika tidak keadaan akan bertambah buruk.