Bomba turut jadi mangsa banjir

Iklan
Anggota bomba BBP Chukai tetap komited membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar Chukai, Kemaman.

KEMAMAN - Di sebalik kesibukan mereka memindahkan orang ramai ke pusat pemindahan sementara (PPS), siapa sangka wira bomba ini turut menjadi mangsa banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, selain beliau, enam lagi pegawai dan anggota balai berkenaan terjejas, selepas kediaman mereka mula dinaiki air malam Rabu.

Iklan
Iklan

Namun katanya, perkara itu bukan alasan untuk mereka mengabaikan tanggungjawab sebagai pasukan penyelamat dengan memindahkan penduduk yang terjejas di sekitar Bandar Chukai ke PPS tanpa mengira masa.

"Kami pernah menghadapi banjir besar di Kemaman pada penghujung 2013 dan awal 2014. Jadi, kami sudah lakukan persiapan dengan memindahkan ahli keluarga lebih awal dan simpan barang ke tempat yang lebih tinggi.

Iklan
Kediaman Mohd Zailani di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman yang turut dinaiki air sedalam 0.5 meter.

"Bagi saya sendiri, ini kali kedua rumah saya di Bandar Baru Bukit Mentok dinaiki air sejak saya menetap di sini bermula 2014.

"Air masuk ke rumah sejak malam Rabu, tapi semalam (Khamis), air sudah naik hingga paras 0.5 meter. Memang sedih sebab ada juga barang di rumah yang tidak dapat diselamatkan tetapi perasaan itu ditolak ketepi kerana kami sedar tanggungjawab kami kepada masyarakat lebih penting," katanya.

Iklan

Daerah Kemaman mula dilanda banjir sejak Ahad lalu dan sehingga kini, mangsa yang dipindahkan ke PPS menghampiri 12,000 orang.