TANAH MERAH - Bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Tanah Merah terbakar hampir 25 peratus dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Komander Operasi Bilik Gerakan Banjir Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Nurul Alfisyahrin Mohd Zaki berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 9.57 pagi dan tiba seminit kemudiannya di lokasi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah digerakkan termasuk dan enam dari BBP Machang, selain bantuan daripada lima Pegawai Bomba Sukarela Taman Barakah.
"Setibanya di lokasi memang kita dapati ada asap keluar dari arah tingkat 1 bangunan tersebut dan anggota kami bertindak mencari punca api dan membuat pengudaraan untuk mengeluarkan asap.
"Api yang kemudiannya marak berjaya dikawal pada jam 11.01 pagi. Buat masa ini kemusnahan akibat kebakaran itu melibatkan 25 peratus dari keseluruhan bangunan dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.