Dua pengawal keselamatan berkomplot curi kabel TNB

Iklan
Dua pengawal keselamatan dan empat rakannya ditahan kerana mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan pencawang TNB Bukit Pelali, Pengerang, Kota Tinggi pada Khamis.

KOTA TINGGI - Dua pengawal keselamatan ditahan kerana berkomplot dengan empat rakannya mencuri tembaga serta kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan pencawang TNB Bukit Pelali, Pengerang, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, pengawal keselamatan itu yang bekerja di pencawang berkenaan pada mulanya membuat laporan polis jam 9.25 pagi Khamis mendakwa disamun sekumpulan lelaki.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengawal keselamatan berusia 24 tahun itu mendakwa disamun sekumpulan lelaki tempatan bertopeng serta bersenjatakan sepucuk senapang patah pada jam 2.30 pagi Khamis.

"Dalam kejadian ini sebanyak 70 meter kabel TNB telah dilarikan oleh suspek melibatkan kerugian RM10,000.

Iklan

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati dua pengawal keselamatan itu telah berkomplot dengan rakannya berusia 19 hingga 36 tahun untuk membuat lakonan seolah-olah kejadian samun bersenjata tersebut berlaku," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Antara barang yang dirampas termasuk sepucuk senapang dalam kegiatan curi dilakukan di kawasan pencawang TNB Bukit Pelali, Pengerang. Polis merampas kabel yang dicuri dua pengawal keselamatan bersama-sama empat rakannya di kawasan pencawang TNB Bukit Pelali, Pengerang, Kota Tinggi pada Khamis.

Katanya, pengawal keselamatan yang membuat laporan polis itu ditahan semasa disoal siasat manakala seorang lagi pengawal keselamatan ditahan semasa bekerja di kawasan pencawang tersebut.

Iklan

Jelasnya, susulan itu pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi membuat tangkapan empat lelaki tempatan di beberapa lokasi di Felda Gugusan Adela di sini antara jam 5 petang sehingga 11 malam pada Khamis.

Beliau berkata, hasil tangkapan tersebut pihaknya merampas tiga guni tembaga, dua batang kabel TNB, dua laras senapang patah bersama-sama tujuh butir peluru penabur, sebutir peluru 9mm serta tujuh telefon bimbit.

Semakan rekod jenayah katanya, mendapati empat daripada tangkapan tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Hussin berkata, kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam masa 14 jam dari tempoh laporan polis diterima dan juga menemukan semula barang-barang kes yang dilarikan.

"Polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bersama-sama sebuah kenderaan yang digunakan semasa kejadian itu.

"Semua suspek direman tujuh hari sehingga 14 Januari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.