Berhemah ketika guna medium siber

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Penjawat awam perlu mempraktikkan sikap berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan medium siber bagi mengelakkan ketirisan maklumat hingga dimanipulasi pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor.

"Di dalam keghairahan kita menggunakan apa jua aplikasi dalam talian, saya mengingatkan agar maklumat kerajaan yang diurus menggunakan medium siber perlu dikendalikan mengikut prosedur dan tatacara yang telah ditetapkan," katanya.

Berucap pada Majlis Hari Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) KKMM 2018 bersama jabatan dan agensi di sini hari ini, Mohd Ali berkata ketirisan maklumat juga sering disalahgunakan bagi penyebaran berita palsu dan tidak benar dalam kalangan rakyat.

"Dengan itu, sikap berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan medium siber haruslah dipraktikkan dan dibudayakan oleh semua penjawat awam termasuklah di KKMM dan jabatan serta agensi.

"Pengguna ICT turut dinasihatkan untuk berhati-hati dan bertanggungjawab ketika memuat naik sebarang kenyataan kerana setiap pengguna adalah tertakluk kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Fitnah 1957 dan Akta Hasutan 1948, katanya.

Mohd Ali berkata dalam menyokong pelaksanaan kerajaan digital, KKMM dan jabatan serta agensi telah dan sedang membangunkan beberapa sistem aplikasi bagi memudahkan urusan perkhidmatan kepada pelanggan antaranya seperti e-Puspal, e-Pembekal, RTM Mobile, myRaja, Bernama Mobile dan MCMC MyComms.

"Lantaran itu, pembangunan aplikasi mobile (mudah alih) perlu dipergiatkan di peringkat kementerian dan jabatan serta agensi bagi menyediakan kepelbagaian saluran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya. - Bernama