MENGURANGKAN kesilapan mudah dan memperbaiki kelemahan ketika bertahan merupakan antara fokus yang perlu diberi perhatian Melaka United menjelang pertemuan Liga Super bertemu PKNS FC di Shah Alam, esok.
Ketua Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan berkata, biarpun mencatat kemenangan 2-1 pada aksi pertama Liga Super menentang Petaling Jaya FC, beliau melihat masih terdapat kelonggaran yang perlu diperbaiki dan mengingatkan pemain supaya tidak cepat berasa selesa.
Sebaliknya, Zainal Abidin, 57, berkata pemain skuad Hang Tuah itu diingatkan meningkatkan tahap prestasi dan tahap permainan memastikan skuad itu membawa pulang tiga mata.
"Kesilapan yang dilihat bukanlah di bahagian (pemain) pertahanan tetapi kelemahan-kelemahan dilakukan (keseluruhan) pemain di waktu bertahan amat penting (untuk dibaiki) dan semua ini kita percaya akan diperbaiki dalam perlawanan seterusnya.
"Saya yakin pasukan ini akan lebih meningkat dan saya mahu para pemain menunjukkan mutu terbaik dan kemampuan yang kita ada ketika menghadapi PKNS FC nanti," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan Melaka United di sini.
Zainal Abidin berkata beliau menghormati PKNS FC sebagai sebuah pasukan yang telah lama berada dalam saingan Liga Malaysia selain kehadiran pemain yang berkualiti dalam pasukan itu.
"PKNS telah memberi tentangan hebat dalam Liga Super dalam musim-musim terdahulu, tetapi kita sudah tentu mahu berikan yang terbaik dalam perlawanan ini," katanya.
Sementara itu, pemain berpengalaman Melaka United, Shukor Adan mahu rakan-rakannya lebih fokus dan memberi komitmen lebih seratus peratus dalam padang ketika bertemu PKNS nanti.
Pemain berusia 40 tahun itu berkata aksi lebih baik harus ditonjolkan dan kemenangan pertama yang diraih selain tidak boleh memandang mudah pasukan lawan yang memiliki kualiti pemain tempatan dan import yang amat baik.
"Jadi fokus harus diletakkan seratus dua puluh peratus agar kita dapat meraih mata penuh,” katanya. - Bernama