Kantoi jadikan dapur restoran port judi

Iklan
Barangan dan peralatan untuk berjudi yang dirampas pihak polis dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Butterworth pada Khamis.

BUTTERWORTH - Tiga lelaki sanggup menjadikan kawasan dapur sebuah restoran di Jalan Raja Uda di sini sebagai 'port' untuk bertaruh melalui permainan judi dadu secara dalam talian.

Bagaimanapun, aktiviti mereka itu berjaya dikesan polis selepas diserbu sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara (SPU) jam 8.30 malam pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tiga lelaki berusia antara 50 hingga 62 tahun itu disyaki terlibat dengan kes permainan judi dadu dalam talian yang kini menjadi taktik baharu untuk bertaruh.

Menurutnya, siasatan mendapati modus operandi digunakan mereka dengan membuat pertaruhan melalui aplikasi khas di media sosial yang boleh dimuat turun secara percuma dalam telefon bimbit.

Iklan

Malah jelasnya, pemain boleh berada di mana-mana sahaja untuk berjudi dan kaedah ini kononnya lebih selamat daripada dikesan penguat kuasa.

"Penganjur atau ketua pemain dikenali sebagai 'Jonker' yang mengawal permainan ini dengan pihak 'Host' yang dikendalikan di suatu tempat yang tidak diketahui lokasinya.

Iklan

"Taktik baru ini digunakan oleh pemain-pemain agar mereka tidak dapat dikesan oleh polis selain senang disembunyikan semasa serbuan atau tangkapan dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Noorzainy berkata, dalam serbuan yang dilakukan, pihaknya merampas tiga telefon bimbit bersama kad sim, kalkulator, powerbank, buku catitan dan sekeping kertas terdapat tulisan dan angka disyaki nilai pertaruhan judi dadu.

Katanya, hasil pemeriksaan telefon bimbit yang dirampas menjumpai satu aplikasi yang terdapat hantaran gambar dan video berunsurkan perjudian dadu dalam talian.

Beliau berkata, soal siasat awal mendapati kesemua tangkapan mengaku terlibat dengan aktiviti perjudian terbabit yang mana salah seorang daripadanya adalah penganjur.

"Daripada risikan yang dibuat pakar judi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mendapati aktiviti perjudian dadu dalam talian seperti ini adalah taktik baharu namun kita berjaya kesan dan lumpuhkan.

"Kesemua tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka1953 dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 8) 2020 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti perjudian haram melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) ataupun menghubungi pihak polis IPD SPU di talian 04–5762222.