KUALA LUMPUR - Sebanyak 15 set al-Quran wakaf diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk dimanfaatkan seluruh kakitangan agensi itu.
Setiap set al-Quran Karya Bestari disumbangkan orang ramai melalui Wakaf Ummah itu adalah inisiatif digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Sumbangan naskhah al-Quran itu disampaikan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah kepada Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.
Menurut Alias, pihaknya merancang untuk menempatkan al-Quran itu di setiap jabatan dan pusat sumber Kompleks Ibu Pejabat SPRM Selangor untuk kegunaan kakitangannya.
"Saya harap kakitangan SPRM Selangor dapat menggunakan al-Quran yang diwakafkan ini sebagai panduan untuk mereka menjalankan tugas dengan lebih berintergriti,” katanya selepas majlis penyerahan al-Quran berkenaan di lobi Kompleks Ibu Pejabat SPRM Selangor pada Jumaat.
Selain itu, Alias berkata, pihaknya juga amat berterima kasih di atas kesudian Kumpulan Karangkraf menyerahkan al-Quran wakaf tersebut kepada SPRM Selangor.
Tambahnya, al-Quran berkenaan sememangnya memberi manfaat besar kepada seluruh warga kerja SPRM Selangor dalam melaksanakan saranan-saranan yang terkandung dalam kitab suci tersebut.
"Malah, dengan sumbangan ini, Insya-ALLAH kita berharap agar ia dapat menjadi platform buat pegawai SPRM mencipta bakat dalam bidang ceramah atau tazkirah,” kata Alias lagi.