TEMERLOH - Dalam kesibukan tugas selaku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, kediaman Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasnuddin Hussin di Seberang Temerloh turut ditenggelami banjir.
Beliau yang merupakan abang ipar kepada penyanyi terkenal, Elyana itu memberitahu, rumahnya mula dinaiki air sejak Selasa lalu.
Iklan
Iklan
"Sebenarnya esok (Sabtu) adalah hari terakhir saya bertugas dan bersara selepas 41 tahun sembilan hari dalam perkhidmatan bomba.
"Walaupun sedih melihat keadaan rumah yang terjejas tetapi saya tidak boleh jadikan ia penghalang untuk bertugas ketika musim bencana banjir ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya,terdapat barangan yang tidak dapat diselamatkan berikutan rumahnya ditenggelami air.
"Walaupun saya tidak akan menyarung uniform selepas ini namun saya tetap terus turun padang membantu mangsa banjir menggunakan pengalaman yang ada.
"Selepas ini anak perempuan saya,Penolong Penguasa Bomba,Nur Hayyu Firdause,32 yang bertugas di Ibu Pejabat Kuala Lumpur akan meneruskan legasi keluarga ini dalam perkhidmatan bomba," ujarnya.