Banjir: Kerajaan Terengganu sedia hadapi sebarang kemungkinan

Iklan
Hanafiah (tengah) melakukan tinjauan di sekitar bandar Chukai, Kemaman pada Sabtu.

KEMAMAN - Semua agensi berkaitan sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk banjir besar sebagaimana melanda Terengganu pada 2013.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri akan menumpukan kepada prosedur operasi standard (SOP) apa yang harus dilakukan, sekiranya situasi sama berulang.

Iklan
Iklan

"Semua agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan semua agensi berkaitan sudah bersiap sedia.

"Cuma kita harapkan banjir gelombang kelima ini akan kembali pulih dan tidak teruk sebagaimana yang pernah berlaku di Kemaman, khususnya bandar Chukai pada 2013 yang melumpuhkan kawasan bandar ini.

Iklan

"Tapi, sekiranya ia berlaku kita sudah bersedia dan dengan SOP yang kita buat, Insya-ALLAH ia tidak akan menjejaskan bandar Chukai," katanya selepas melakukan pemantauan banjir di sekitar bandar Chukai, di sini pada Sabtu.

Ketika ini, jumlah mangsa banjir di Terengganu hampir 12,000 orang membabitkan tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Iklan

Kemaman adalah daerah yang paling teruk terjejas dengan mangsa yang terlibat dengan pemindahan hampir 10,000 orang.

Pada Khamis, beberapa laluan utama di sekitar Bandar Chukai mula dinaiki air sejak jam 5 petang sehingga air melimpah ke laluan utama di kedua-dua arah dari Geliga menghala Bandar Chukai.

Bagaimanapun, beberapa laluan utama di pusat bandar Chukai yang dinaiki air mulai surut sejak tengah hari pada Jumaat.