GERIK - Limpahan air dari Tasik Banding di Kawasan Hentian Royal Belum, di sini sejak Khamis lalu tidak menjejaskan orang ramai dan operasi Rumah Bot Tasik Banding.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pemantauan dilakukan mendapati, keadaan di situ adalah terkawal dengan kedudukan paras air masih pada tahap selamat.
Menurutnya, rumah penduduk di kawasan berhampiran juga tidak dinaiki air kerana berada pada kedudukan tinggi dari paras sungai.
"Saya telah membuat lawatan di Kampung Luat Lenggong, semalam (Jumaat) dan walaupun rumah-rumah di situ berada atas bukit, kita tetap menasihatkan mereka supaya berhati-hati.
"Jika ada apa-apa berkaitan keadaan di luar jangka, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan maklumkan segera kepada polis," katanya.
Terdahulu tular gambar di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan yang diletakkan di parkir kawasan hentian itu dinaiki air hingga menenggelamkan tayar.
Zulkifli berkata, limpahan air berkenaan berlaku akibat hujan berterusan dan ketika kejadian kebanyakan pemilik kenderaan berada di Rumah Bot Tasik Banding.
"Semua kenderaan ini telah berjaya dialih dan kita dimaklumkan operasi rumah bot masih diteruskan seperti biasa," katanya.