Kemelut politik Semenanjung tidak pengaruhi GRS

Iklan
Hajiji menandatangani MoU Kerjasama Politik GRS yang turut ditandatangani oleh ketua setiap parti di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Kemelut politik yang berlaku di Semenanjung tidak akan mempengaruhi kerajaan yang dibentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini.

Perkara itu dijamin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerjasama politik di bawah GRS sudah mencapai kata sepakat untuk tidak mahu kekacauan politik menular ke Sabah.

Iklan
Iklan

"Kita lihat politik Sabah dalam konteks negeri kita saja. Kita tidak boleh terpengaruh dengan pergerakan politik yang berlaku di Semenanjung.

"Kita perlu teruskan mandat yang diberikan rakyat dan tidak timbul isu kita terpengaruh dengan perkara yang berlaku di Semenanjung.

Iklan

"Tidak kira apa yang berlaku di Semenanjung, ia tidak akan mengganggu kita (GRS)," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pertama GRS dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) parti komponen gabungan itu pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung sejauh mana GRS mampu bertahan untuk kerjasama dalam situasi politik di peringkat Persekutuan yang kurang stabil ketika ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, semua parti dalam GRS bersetuju untuk memastikan kerjasama yang dimeterai melalui MoU pada Sabtu diteruskan dan diperkukuhkan lagi.

"Kita pastikan kerjasama ini dikukuhkan lagi dan kita menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan ini," katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata, UMNO Sabah juga sudah menyatakan komitmen untuk memastikan kedudukan GRS sebagai kerajaan negeri terus dipertahankan.

Sementara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sudah menjelaskan pendirian berhubung kerjasama dengan semua parti dalam GRS.

"Pendirian kita jelas, keputusan kita ialah mempertahankan kerajaan GRS. UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sepakat untuk mempertahankan GRS dan keutamaan kita ialah untuk membangunkan Sabah.

"Jadi tidak timbul soal sama ada kita melanggar MoU atau tidak kerana kita berpegang kepada persefahaman yang dijalin sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN). Sekarang adalah masa untuk kita melaksanakan amanah diberikan rakyat," katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu, sembilan parti dalam GRS memeterai MoU bagi mengukuhkan kerjasama dalam mentadbir kerajaan Sabah.

Parti itu terdiri daripada komponen Perikatan Nasional (PN), iaitu Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pas; BN iaitu UMNO Sabah, MCA dan MIC serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

MoU itu ditandatangani ketua setiap parti atau wakil masing-masing dengan didahului Hajiji dan diikuti Bung Moktar.