KUALA LUMPUR - Tentera Darat Malaysia telah menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat kes pegawai kanannya menumbuk anggota bawahan yang bertugas di balai pengawal.
Dalam kenyataannya di sini hari ini, Tentera Darat Malaysia yang mengesahkan kejadian itu berlaku di Kem Sungai Udang, Melaka pada 4 Februari lalu, berkata, saksi yang terlibat dalam insiden berkenaan juga telah dikenal pasti bagi membantu siasatan.
"Kes sedang dalam siasatan dan ia merupakan kes terpencil yang berlaku dalam Tentera Darat. Tentera Darat mengambil serius isu ini kerana ia bertentangan dengan peraturan dan disiplin tentera.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tentera Darat siasat dakwaan pegawai kanan tumbuk anggota]
"Hasil siasatan akan diteliti sebaik mungkin sebelum sebarang tindakan diambil berdasarkan undang-undang serta peraturan sedia ada,” demikian menurut kenyataan itu.
Tentera Darat juga memberi jaminan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah tanpa mengambil kira pangkat dan kedudukan.
"Diharap penularan isu ini dapat dihentikan bagi memberi ruang kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyiasat dengan telus dan saksama,” demikian menurut kenyataan itu.
Pada Selasa lepas, rakaman klip video berdurasi 1:10 saat tular di laman sosial menunjukkan seorang lelaki dipercayai pegawai kanan berpakaian preman menumbuk anggota yang sedang mengawal balai pengawal di sebuah kem. - Bernama