Banjir ragut sembilan nyawa

Iklan
Keadaan banjir di Kemaman melalui tinjauan udara.

KEMAMAN - Bencana banjir yang melanda negara sejak November lalu telah meragut sembilan nyawa akibat lemas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, daripada jumlah itu, lima kes direkodkan di Pahang, tiga kes di Johor dan satu kes di Kelantan.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian lemas ini, mangsa melalui pelbagai situasi, antaranya jatuh longkang ketika berjalan balik ke rumah. Ada juga yang menaiki kenderaan dan lemas ketika cuba untuk menyeberang.

"Ada kes, mangsa lemas setelah tong yang digunakannya terbalik, menyebabkan dia dibawa arus air.

Iklan

"Saya harap, pada musim begini, orang ramai tidak mengambil risiko meredah air di kawasan-kawasan banjir termasuk menggunakan kenderaan kerana tindakan seperti itu boleh mengundang pelbagai risiko," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan udara bagi melihat situasi banjir di sekitar daerah Kemaman pada Sabtu.

Mohammad Hamdan melakukan tinjauan udara bagi melihat situasi banjir di sekitar daerah Kemaman, Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Hamdan turut mengingatkan agar mangsa banjir untuk menutup suis utama kediaman masing-masing, sebelum mereka meninggalkan rumah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Katanya, ia bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang mereka berada di pusat pemindahan sementara.