'Saya diugut bunuh gara-gara fitnah'

Iklan
Mohd Haaziq (tiga dari kanan) bersama anak guamnya, Rahman (dua dari kiri) menunjukkan kenyataan akhbar selepas sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Sabtu.

PETALING JAYA -"Saya diugut bunuh gara-gara fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang langsung saya tidak kenali dengan motif jahat mahu menjatuhkan empayar perniagaan yang saya bina sejak 23 tahun yang lalu," luah pemilik Raihanah Cold Storage, Rahman Sheikh Abdullah, 45.

Rahman mendakwa, dia dan keluarga turut terkesan apabila dicemuh masyarakat sekeliling akibat paparan status Facebook yang dimuat naik oleh seorang individu tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perniagaan daging yang dijalankan turut terjejas teruk gara-gara hantaran Facebook yang mengaitkan syarikatnya dengan kartel daging haram.

Rahman

"Saya diugut bunuh menerusi satu panggilan telefon pada 28 Disember lalu, beberapa hari selepas tersiarnya paparan Facebook mendakwa syarikat saya terlibat dengan kartel daging haram.

Iklan

"Sampaikan jumlah pesanan peniaga yang membeli daging daripada saya turut berkurangan manakala bank pula menghubungi saya seolah-oleh tidak yakin syarikat boleh bayar pinjaman yang dibuat," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Sabtu.

Sementara itu, peguam kepada Rahman, Datuk Mohd Haaziq Pillay berkata, pihaknya telah menghantar tiga tuntutan kepada individu berkenaan berhubung perkara itu.

Iklan

"Pertamanya kita menuntut agar individu itu membayar kos ganti rugi sebanyak RM50 juta, permohonan maaf dan surat akujanji yang menyatakan beliau tidak boleh lagi mengulangi kenyataan sama selepas ini.

Mohd Haaziq (tengah) bersama anak guamnya, Rahman (kiri) pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Sabtu.

"Tuntutan ini kita telah hantar semalam (Jumaat) dan kita berikan tempoh lapan hari bermula hari ini (Sabtu) kepada individu berkenaan berkaitan tiga tuntutan ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Haaziq berkata, pihaknya juga akan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekiranya tiga tuntutan ini tidak dipenuhi.

"Seperti yang diketahui pihak-pihak yang terlibat dalam isu penyeludupan daging haram adalah pengimport-pengimport.

"Anak guam saya hanya merupakan pengedar yang terlibat dalam perniagaan membeli dan mengedar daging khususnya daging kambing dan lembu, tempatan," katanya.

Jelasnya, anak guamnya memastikan bahawa daging yang dibeli daripada pembekal-pembekal adalah disertakan dengan sijil penyembelihan mengikut syariat Islam yang ditetapkan dan diwajibkan.

"Anak guam saya tidak terlibat dengan mana-mana kartel, saya sendiri telah bertemu dan mendapatkan penerangan daripadanya sendiri dan kalau dia kartel, dia tidak akan berada di sini pada hari ini," katanya.

Jelasnya, anak guamnya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Taman Perling, Johor pada 25 Disember lalu.

"Adalah perlu anak guam saya menghapuskan cerita bohong bahawa mereka terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang syarak.

"Raihanah Cold Storage Sdn Bhd turut menolak apa-apa alegasi berkaitan dengan praktis perniagaan yang tidak beretika dan tidak jujur," katanya.

Sebelum ini tular di Facebook mendakwa isu daging tidak halal dikaitkan dengan syarikat milik orang Islam di mana pada gambar hantaran turut dipaparkan wajah pemilik Raihanah Cold Storage iaitu Rahman Sheikh Abdullah berserta sijil SSM.

Malah, status di Facebook itu juga turut memaparkan nama isteri dan nama salah seorang kakitangan Raihanah Cold Storage.