DOHA - Qatar dan Arab Saudi membuka semula sempadan darat negara masing-masing pada Sabtu selepas Riyadh dan Doha mencapai kesepakatan untuk menamatkan sengketa yang berlarutan selama hampir empat tahun.
Sumber di Qatar mengesahkan lintasan sempadan Abu Samrah terletak kira-kira 120 kilometer di selatan Doha sudah mula beroperasi semula.
"Riyadh telah membenarkan pergerakan masuk dari Qatar," kata saksi di sempadan.
Doha bagaimanapun telah mengumumkan peraturan ketat untuk mereka yang memasuki negara itu dari Saudi termasuk perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan Covid-19 dan menjalani kuarantin selama seminggu di hotel diluluskan kerajaan.
"Ia adalah detik yang sangat menggembirakan. Saya beli kereta baharu ini untuk meraikannya bersama saudara di Riyadh. Saya sudah melakukan ujian saringan dan sedang menunggu kebenaran untuk merentasi sempadan," kata pemuda berketurunan Saudi, Zaid Muhammad al-Marri, 23.
Pada Khamis, syarikat penerbangan Qatar Airways memaklumkan ia sudah mula mengubah laluan penerbangan melalui ruang udara Saudi.
Menerusi akaun rasmi di Twitter, penerbangan dari Doha ke Johannesburg telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada jam 9.13 malam (waktu tempatan).
Difahamkan, laluan penerbangan di ruang udara Riyadh akan memendekkan tempoh selama hampir sejam berbanding laluan bulatan di Laut Arab.
Pada 4 Januari lalu, Menteri Luar Kuwait, Ahmad Nasser al-Sabah mengumumkan perjanjian telah dicapai untuk membuka ruang udara, darat dan laut antara Doha dan Riyadh selepas hubungan antara negara Teluk itu mula tegang susulan langkah boikot yang dilaksanakan ke atas Qatar pada 2017.
Ketika Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada awal minggu lalu, kuartet Arab diketuai Riyadh bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir juga bersetuju untuk menarik balik embargo perjalanan dan perdagangan sebagai langkah memulihkan hubungan di rantau terbabit. - Agensi