SHAH ALAM - Pesawat Sriwijaya Air, SJ182 dalam penerbangan dari Jakarta ke Pontianak yang hilang dari radar pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Barat pada Sabtu dipercayai terhempas di laut antara Tanjung Kait, Tangerang dan Pulau Lancang, dekat Jakarta.
Menurut laporan CNN Indonesia, Ketua Pegawai Keselamatan PP Pulau Pari, Maslawi memaklumkan bahawa anggotanya yang sedang mencari pesawat itu menemui sejumlah barang yang disyaki berkaitan pesawat berkenaan.
"Maklumat yang saya peroleh daripada anggota adalah sepotong kabel halus, rambut, levis koyak dan minyak yang mengalir dari laut ke permukaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Sriwijaya Air terputus hubungan selepas berlepas
"Itulah sebabnya lokasinya diketahui di sana kerana terdapat tumpahan minyak, ada juga serpihan pesawat," kata Maslawi ketika dihubungi melalui telefon.
Maslawi mengesyaki kawasan berkenaan adalah lokasi pesawat itu terhempas.
Menurutnya, jarak dari Tanjung Kait ke lokasi tersebut kira-kira 30 minit menggunakan kapal nelayan dengan menganggarkan kedalaman laut antara 15 hingga 20 meter.
Kementerian Perhubungan mengesahkan bahawa pesawat itu terputus hubungan dan pada masa ini, kementerian terbabit masih menjalankan siasatan.
"Ada kontak yang hilang untuk pesawat Sriwijaya di laluan Jakarta-Pontianak.
"Kontak terakhir dibuat pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Barat," kata jurucakap Kementerian Perhubungan, Adita Irawati.
Siasatan kehilangan kontak pesawat itu dilakukan Badan SAR Nasional dan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT).