Pahang belanja RM1 juta sehari untuk mangsa banjir

Iklan
Pemandangan udara menunjukkan sebahagian kawasan Nenasi dan paras air di Sungai Pekan, Pahang dirakam ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama

JERANTUT - Kerajaan Pahang membelanjakan RM1 juta sehari bagi membantu mangsa banjir negeri ini melebihi peruntukan yang disediakan bagi menghadapi musim tengkujuh 2020/2021.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, peruntukan sedia ada ialah sebanyak RM4 juta, namun ia perlu ditambah berikutan banjir kali ini yang berlarutan dan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat Sabtu, kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM8 juta dengan peruntukan tambahan diluluskan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Jumaat bagi membolehkan mangsa banjir menerima bantuan sewajarnya.

"Antara faktor yang menyebabkan jumlah peruntukan ini perlu ditambah ialah trend banjir kali ini berbeza kerana ada kawasan yang tidak pernah banjir turut dilanda musibah selain bencana seperti tanah dan jambatan runtuh menyebabkan ramai terputus hubungan.

Iklan

"Jumlah hujan sejak Ahad lalu juga difahamkan adalah bersamaan dengan tempoh setahun, menyebabkan sungai tidak dapat menampung kuantiti air lalu melimpah menjadikan banjir kali ini lebih teruk," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan di Kuala Tahan melalui Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini pada Sabtu.

Turut menyertai misi bantuan itu ialah Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Zahar Abdullah dan Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah.

Iklan

Sallehuddin berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa projek pembangunan atau pembalakan sebagai punca banjir, tidak sepenuhnya tepat kerana terdapat daerah yang tidak mempunyai projek pembangunan buat masa ini seperti Rompin juga dilanda banjir.

Menurut Sallehuddin, kerajaan negeri cuba sedaya upaya untuk memastikan mangsa banjir menerima bantuan secepat mungkin, namun di beberapa lokasi berlaku kelewatan kerana faktor air naik terlalu cepat dan jumlah mangsa terlalu ramai.

"Kita sudah menggunakan tenaga dan aset yang ada, tetapi untuk kali ini kita bukan hanya berdepan mangsa banjir malah mereka yang terkandas di negeri ini semasa dalam perjalanan pulang ke tempat masing-masing juga ramai, selain perlu menguruskan kira-kira 1,000 pelancong," katanya.

Dalam pada itu, Sallehuddin menasihatkan penduduk untuk akur arahan berpindah dan kekal berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga keadaan benar-benar selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini apabila mereka berkeras mahu pulang lebih awal.

Katanya, kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Khas Bencana Banjir Negeri Pahang dan mereka yang berhasrat membantu boleh menderma ke akaun bank Perbendaharaan Negeri Pahang di 06010002165711 Bank Muamalat. - Bernama