ALOR GAJAH - [DIKEMASKINI] Melaka akan menghantar pesakit positif Covid-19 di negeri itu ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor memandangkan Hospital Melaka kini tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu menyebabkan hospital tersebut yang berkapasiti 200 katil dan satu-satunya pusat kuarantin di Melaka tidak dapat memenuhi keperluan semasa.
Iklan
Iklan
"... bila berlakunya peningkatan kes Covid-19, (contohnya) kelmarin 70 kes, semalam 50 kes, sudah pasti hospital itu tidak boleh menampung jumlah mereka yang positif,” katanya yang ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada 530 murid sekolah rendah bagi sesi akademik 2021 di sini pada Ahad.
Menurut Sulaiman, dua PKRC sebelum ini iaitu Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya serta Akademi Latihan Jabatan Pengangkutan Jalan kini kembali beroperasi mengikut fungsi asal masing-masing.
Katanya, kerajaan negeri turut bercadang menjadikan beberapa hotel di negeri itu sebagai pusat kuarantin sebagai langkah terakhir sekiranya keadaan memerlukan.
Melaka mencatatkan peningkatan mendadak kes harian dengan 50 kes dilaporkan pada Sabtu dan 70 kes pada Jumaat lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri itu sebanyak 1,548 kes sejak Mac tahun lepas. - Bernama
Artikel Berkaitan