PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan dalam pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, bekalan barangan dalam pasaran ketika ini adalah terkawal.
"Kesemua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin buat semua pengguna,” katanya.
Nanta berkata, situasi pembelian panik yang dilaporkan di beberapa kawasan di negara ini mungkin berlaku berikutan pengumuman khas yang akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19.
Katanya, situasi itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi dan semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa.
Nanta berkata, keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020 apabila kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.
Katanya, KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan harian terhadap keberadaan barangan keperluan pengguna termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.
"Pemantauan 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039 pemborong terpilih daerah dan 223 pengilang terpilih daerah yang merangkumi 222 kawasan Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri,” katanya. - Bernama