Gol diharap semarakkan semangat Aubameyang

Iklan
Aubameyang

GOL kedua jaringan bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang pada aksi pusingan ketiga Piala FA berdepan Newcastle di Emirates pada awal pagi Ahad, diharap menyemarakkan semula semangat pemain berkenaan untuk terus beraksi cemerlang selepas ini.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata, gol berkenaan dilihat mampu meningkatkan prestasi penyerang kelahiran Gabon itu bagi mengharungi ‘pusingan kedua’ khususnya bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelak.

Iklan
Iklan

"Dia (Aubameyang) sebenarnya memerlukan keyakinan; dan dia perlu mendapatkan sedikit momentum dengan kembali menjaringkan gol seperti yang sering dilakukannya sebelum ini.

"Oleh itu, saya melihat jaringannya hari ini akan menjadi ‘kunci’ kepadanya untuk mengembalikan kecemerlangan berkenaan,” katanya.

Iklan

Pada perlawanan berkenaan, Aubameyang menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan The Gunners pada minit ke-117 bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan Piala FA musim ini.

Satu lagi gol dijaringkan oleh Emile Smith Rowe pada minit ke-109.

Iklan

Sementara itu Arteta menyifatkan lima pertukaran pemain sebagaimana yang dibenarkan bagi aksi Piala FA Inggeris kali ini sememangnya banyak memberikan manfaat kepada skuad The Gunners itu.

Katanya, skuad kendaliannya itu dilihat semakin bertenaga apabila dapat menampilkan pemain-pemain seperti Emie Smith Rowe, Granit Xhaka and Bukayo Saka pada perlawanan berkenaan.

"Sebenarnya pemain-pemain yang berada di bangku simpanan adalah ‘kunci’ kepada kejayaan pasukan kerana mereka memberikan anda ‘pilihan.’

"Lima pemain gantian memberikan banyak pilihan kerana kebiasaannya pada penghujung perlawanan ramai pemain yang kelihatan ‘longlai’ dan kita boleh menggantikan mereka dengan pemain baharu yang masih ‘segar’ dan ia mampu mengubah keputusan perlawanan,” katanya.