Abu Johan minta maaf fitnah FGV

Iklan
Abu Johan mengadakan sidang media bersama PPIM mengenai FGV pada tahun 2019.

SHAH ALAM - Ahli perniagaan, Abu Johan Aboo Backer memohon maaf berhubung pelbagai kenyataannya yang dikeluarkan terhadap FGV Holdings Berhad (FGV) dan anak-anak syarikatnya pada tahun 2019 termasuk hutang berjumlah RM4 juta yang didakwa tidak dijelaskan.

Abu Johan berkata, kenyataan itu dibuat berhubung kontrak kerja-kerja pembinaan bagi sebuah projek di Chuping, Perlis membabitkan antara syarikatnya dengan anak syarikat FGV, Felda Properties Sdn Bhd (Felda Properties).

Iklan
Iklan

Selain projek berkenaan, Abu Johan telah menyatakan pelbagai kenyataan berkenaan FGV, Felda Engineering Sdn Bhd, Allied Engineering Consultancy Services Sdn Bhd dan pengurusan, kakitangan dan pakar perunding mereka.

Menurutnya, kenyataan beliau adalah berkenaan pengurusan projek oleh FGV dan kakitangan dan jumlah-jumlah yang dikatakan terhutang kepadanya sebagai kontraktor yang berbangkit daripada projek tersebut.

Iklan

"Saya kini menerima dan mengakui bahawa pernyataan-pernyataan yang telah dinyatakan oleh saya adalah bersifat fitnah dan tidak benar, termasuk jumlah RM4 juta yang kononnya terhutang kepada saya. Saya menarik balik pernyataan-pernyataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontraktor tuntut FGV bayar baki RM4 juta

Iklan

Abu Johan turut mengakui bahawa tuduhan yang dibuat tidak mempunyai kebenaran dan asas, malahan beliau telah dibayar sepenuhnya untuk jumlah yang terhutang daripada projek tersebut.

"Saya dengan ikhlasnya menyesal terhadap kerosakan yang ketara, kesusahan dan rasa malu yang diakibatkan kepada nama baik Kumpulan FGV dan kakitangan yang disebabkan oleh pernyataan-pernyataan tersebut.

"Saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf secara ikhlas dan menyatakan kekesalan saya kerana membuat pernyataan-pernyataan tersebut dan tidak akan mengulangi pernyataan-pernyataan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, pada 17 September 2019, Abu Johan mengadakan satu sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkenaan dengan satu kontrak yang telah dimasuki perniagaannya dengan Felda Properties untuk menjalankan baki kerja-kerja pembinaan bagi sebuah projek di Chuping, Perlis.

Syarikatnya adalah sub kontraktor yang menjalankan projek melibatkan 158 unit rumah mampu milik, 66 unit rumah kos sederhana, 17 rumah kedai dan kemudahan infrastruktur dengan tender RM23 juta.

Menurutnya, syarikatnya ditamatkan kontrak pada Julai 2018 selepas didakwa gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.