Sokongan tipis kepada Perdana Menteri

Iklan
NOOR HARIRI

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan berpandangan penarikan sokongan daripada dua Ahli Parlimen dari Machang dan Gua Musang memperlihatkan sokongan tipis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, berlaku kelemahan dalam urusan pentadbiran negara yang diketuai Muhyiddin ketika ini.

Iklan
Iklan

"Saat ini, wakil kerajaan sama jumlahnya 110 dengan wakil pembangkang.

"Ketidakstabilan politik itu memperlihatkan kelemahan Perdana Menteri dalam mentadbir negara apabila gagal mengawal ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara ketidakpuasan hati itu melibatkan kebajikan rakyat seperti lanjutan moratorium, penetapan syarat I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kekurangan insentif kepada mahasiswa.

"Selainnya isu jenayah; kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan pengganas Tamil Tiger yang seperti diberi perhatian acuh tak acuh oleh kerajaan.

Iklan

"Ini belum lagi hal ekonomi yang meruncing akibat kekurangan pelaburan asing yang masuk, malah banyak yang bertindak menarik pelaburan mereka ke negara jiran,” katanya.

Menurut beliau, situasi ketika ini amat kritikal dan negara tidak akan mampu bertahan dengan ekonomi menguncup dengan terus menggunakan alasan pandemik Covid-19.

"Kami melihat Perdana Menteri seperti menjadikan isu Covid-19 sebagai perisai untuk parti pemerintah menidakkan hak kita semua, tetapi waktu yang sama dikatakan melakukan pelbagai gerakan politik yang terselindung tanpa pengetahuan rakyat.

"Tan Sri Muhyiddin tidak boleh diam membisu dan main selamat. Perlu beri kata dua dalam membuat keputusan yang mampan.

"Pada masa sama menangani Covid-19 perlu selari dengan rancangan penjanaan ekonomi berterusan. Jangan lagi berikan pelbagai alasan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kemelut politik tersebut.

"Berlaku kegagalan dalam mendengar sepenuhnya denyut nadi rakyat seperti yang diperjuangkan oleh Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

"Pemuda Umno Kelantan berpendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan lagi calon yang layak sebagai Perdana Menteri untuk memimpin negara kerana hilang 'political wisdom' dalam menjaga kerukunan ahli parti-parti yang menyokong beliau dalam PN, seolah-olah terbawa-bawa dengan kegagalan corak pentadbiran PH terdahulu,” katanya.