KOTA TINGGI - Seorang warga emas terperangkap dalam rumahnya yang dilanda banjir berjaya diselamatkan dengan bantuan anggota bomba di Teluk Ramunia di sini pada Ahad.
Sal Ahnar, 65, tidak menyedari air naik begitu cepat sebelum anaknya yang tinggal berhampiran meminta bantuan pihak bomba pada jam 5.41 pagi untuk memindahkan ibunya.
Iklan
Iklan
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu utiliti Toyota Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
Ketua Balai BBP Rengit, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Nazri A Wahab berkata, warga emas tersebut diselamatkan dan dibawa meredah banjir dengan menggunakan kenderaan bomba.
"Warga emas itu tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya dihantar ke rumah anaknya di kawasan Teluk Ramunia.
"Difahamkan mangsa mengalami sakit kaki dan sukar berjalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, operasi diketuai Penguasa Bomba Kanan II Mohd Hairul Mohd Nin itu tamat jam 6.40 pagi.