KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa Filipina sedang menyiasat dan berjanji untuk mengambil tindakan terhadap seorang rakyatnya membakar Jalur Gemilang yang disiarkan menerusi akaun Facebook 'President Pamatong Supporters' pada 19 dan 21 Januari lalu.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Filipina, insiden pembakaran Jalur Gemilang itu dilakukan individu yang dikenali telah melakukan banyak perkara kontroversi.
"Tindakan lelaki ini tidak mewakili pemerintah Filipina dan pihak berkuasa Filipina di Manila kini sedang menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Pihak kedutaan tidak bersetuju dan sangat kesal dengan insiden ini sehingga menyinggung perasaan rakyat Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, pihak kedutaan memberikan jaminan dan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina .
Semalam, Malaysia menerusi Wisma Putra mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membakar bendera negara ini secara terbuka di Filipina yang ditampilkan dalam sebuah video.
Lelaki yang dikenali sebagai Elly Pamatong merupakan pengasas 'United States Allied Freedom Fighters of the East' (USAFFE) telah melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia.
Wisma Putra menganggap perbuatan tersebut serta komen anti-Malaysia yang dibuat oleh individu terbabit adalah jelik serta tuduhan yang dilemparkan juga tidak berasas.
Wisma Putra menggesa kerajaan Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Pamatong dan memastikan insiden serupa tidak berulang kerana ia mampu mencemarkan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan Filipina sekarang.