KOTA TINGGI - Penduduk di sekitar pusat bandar Kota Tinggi di sini bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir yang berlaku seminggu lalu berulang kembali berikutan hujan lebat sejak malam Sabtu.
Tinjauan Sinar Harian di pusat bandar Kota Tinggi pada Ahad mendapati penduduk yang telah pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Jumaat kembali dipindahkan ke PPS pada sebelah pagi.
Penduduk Kampung Kelantan, Rahim Hashim, 50, berkata, Sungai Johor yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya dikhuatiri akan melimpah pada bila-bila masa.
Menurutnya, dia bersama lima orang anak serta dua orang cucu sepatutnya pulang ke rumah dari PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC) Mawai pada Ahad, namun terpaksa membatalkan hasrat itu kerana bimbang banjir berulang kembali.
"Sudah seminggu saya dan keluarga ditempatkan di PPS SJKC Mawai selepas rumah kami dinaiki air banjir setinggi tiga meter pada 2 Januari lalu. Air ketika itu naik begitu cepat sehingga saya tidak dapat selamatkan kereta Proton Saga. Habis tenggelam dalam banjir.
"Saya kira banjir kali ini teruk apabila berlaku di kampung ini. Bunyi seakan-akan dentuman di Sungai Bedil beberapa hari lalu juga dilihat sebagai petanda kejadian banjir akan berulang semula," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Rahim berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM15,000 kesan dari kejadian banjir itu,
Sementara itu, seorang warga emas, Abu Bakar Ahmad, 69, berkata dia berpindah semula ke PPS di SJKC Mawai pagi Ahad selepas rumahnya di Kampung Batu 25 kembali dinaiki air kira-kira 0.5 meter.
Abu Bakar yang menghidap penyakit angin ahmar berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat membantu beliau berpindah semula ke PPS.
"Ini kali kedua rumah saya dinaiki air selepas kejadian banjir pada 2 Januari lalu. Dalam kejadian pertama, rumah saya dinaiki air setinggi satu meter.
"Saya bersama isteri dan enam orang anak sudah ke rumah sejak Khamis lalu berikutan banjir yang sudah surut. Namun selepas hujan lebat sejak awal pagi ini (Ahad), saya terpaksa berpindah semula ke PPS," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan menerusi satu kenyataan pada Ahad berkata, jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 12 tengah hari Ahad ialah seramai 645 orang berbanding 479 orang pada jam 8 pagi.
Beliau berkata, daerah terjejas teruk setakat ini ialah di Kota Tinggi apabila mangsa banjir meningkat daripada 65 orang pada jam 8 pagi kepada 231 mangsa pada tengah hari Ahad.
"Keadaan banjir di daerah ini semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa dengan pertambahan lima PPS yang baru sahaja dibuka.
"PPS yang baru dibuka s ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia, SK Lepau, SK Kampung Kapal, SK Sungai Telor dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Yok Poon," katanya.
Beliau berkata, ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan amaran cuaca bahaya iaitu hujan sangat lebat dijangka berterusan di beberapa daerah di negeri ini sehingga Isnin.
"Amaran cuaca bahaya itu melibatkan daerah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai Kota Tinggi dan Johor Bahru," katanya.
Setakat ini, Jalan Felda Semenchu di sini dan Jalan Tanah Abang di Mersing ditutup sepenuhnya bagi semua kenderaan.