KOTA BHARU - Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di Kelantan semakin mendapat kepercayaan dan menjadi pilihan masyarakat dari dalam dan luar negara untuk menuntut ilmu.
Penaung SRITI Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, ia berdasarkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu yang bukan sahaja mendapat sambutan bahkan telah memenuhi kelas pembelajaran yang disediakan sejak November lagi.
Menurutnya, di sebalik visi dalam melahirkan generasi soleh pintar rabbani dan murabbi, tenaga pengajar sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik selain ikhlas dalam mendidik pelajar.
"Saya yakin dengan kelebihan pendidik di SRITI dan keyakinan diberikan ini menyebabkan SRITI terus menjadi pilihan utama ibu bapa dalam melahirkan generasi muda Islam yang dapat menghafal al-Quran serta mengamalkannya,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad pada Sabtu.
Terdahulu, beliau merasmikan Brainstoming SRITI Pengkalan Chepa yang turut dihadiri Penasihat SRITI Pengkalan Chepa, Mohd Afif Rabbani Abdullah, Pengerusi SRITI Pengkalan Chepa, Bukhari Saari dan Pengerusi SRITI Tok Guru Pulau Melaka, Nik Hamdi Ghani.
Dalam pada itu, Nik Hamdi berkata, pendaftaran pelajar baharu di SRITI Tok Guru turut dibuka sepanjang tahun dan ibu bapa yang berminat masih lagi boleh mendaftar.
"Di SRITI ia bukan sahaja menjadi rebutan masyarakat ibu bapa Kelantan bahkan ibu bapa dari Thailand dan Kemboja turut menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu di sini.
"Kita turut menyediakan kemudahan asrama kepada pelajar-pelajar yang datang dari jauh,” jelasnya.