KUANTAN - Lima anak tangga batu berwarna merah bata dan hijau menjadi satu-satunya peninggalan kesan banjir selepas rumah pusaka keluarga seorang pekerja swasta, Abdul Daud Muntil di Kampung Ajai, Dong, Raub dihanyutkan arus deras.
Abdul Daud, 56, berkata, rumah dua bilik yang diperbuat daripada kayu itu dihanyutkan arus deras kira-kira tiga meter daripada tapak asal sebelum 'tersangkut' di antara pokok buah-buahan yang ditanam di pekarangan belakang.
Beliau yang menetap di Puncak Alam, Selangor berkata, rumah pusaka yang menjadi tempat berkumpul mereka lima beradik pada hujung minggu dan hari raya boleh dianggap sebagai 'total lost' kerana semua peralatan di dalamnya rosak serta disaluti lumpur tebal.
"Keadaan dalam rumah seperti kapal karam. Perabot, peti sejuk, mesin basuh dan peralatan lain semuanya berselerak dan ada yang terbalik. Tiada satu pun yang boleh digunakan lagi. Sebak juga lihat rumah peninggalan orang tua jadi begitu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.
Menurut Abdul Daud, banjir melanda ketika beliau bersama-sama dua anak lelakinya menghabiskan cuti akhir tahun di rumah berkenaan dan hujan berterusan sejak Sabtu menyebabkan halaman rumah mula dinaiki air pada sebelah petang.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Abdul Daud menyangka banjir tidak akan melepasi paras rumah, namun sangkaan itu meleset apabila mereka tiga beranak terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Pia susulan air naik mendadak.
"Pada jam 9 malam Ahad, jiran yang masih berada di rumah kerana menunggu bot penyelamat menelefon memberitahu melihat rumah saya bergerak sebelum panggilan terputus. Saya cuba menghubunginya lagi namun gagal.
"Saya berjumpanya di pusat pemindahan pada tengah malam dan perkara pertama diberitahu ialah rumah saya hanyut bersama sebuah lagi rumah dalam kampung yang sama. Saya tergamam juga memikirkan betapa kuatnya arus banjir kali ini," katanya.
Abdul Daud berkata, buat masa ini, dia bersama-sama adiknya Abdul Raof, 50, yang tinggal berhampiran rumah pusaka itu sedang membersihkan sisa banjir dan mereka bercadang untuk membina pondok sementara sebelum berpakat dengan adik-beradik lain bagi membina rumah baharu di tapak sama.
Katanya, kerja pembersihan dijangka mengambil masa agak lama kerana selain perabot untuk dibuang, mereka perlu berhati-hati bergerak dalam rumah yang 'senget' kerana bimbang ia runtuh.
Sementara itu, seorang manga banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh di Temerloh berpeluang menyuarakan keresahannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Perdana Menteri melawat mangsa banjir di pusat itu pada Ahad.
Sebak dan terharu atas keprihatinan dan belas ihsan Perdana Menteri, Jamaliah Jamaludin, 40, kelihatan bergenang air mata ketika menyuarakan keresahan dialaminya.
"Rumah saya tenggelam dan rosak teruk, banyak barang elektronik hanyut, air banjir pula tidak tahu bila hendak surut jadi tidak pasti bila boleh balik rumah...kita bukannya orang kaya, kita orang susah, tadi PM (Perdana Menteri) pesan pada saya untuk jaga kesihatan diri dan jaga keluarga," katanya yang menetap di Kampung Padang Tenggala.
Nik Hazran Nizam Teh Seman, 49, yang turut disantuni Muhyiddin, melahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan dalam menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi.
"Kemudahan rawatan Klinik Kesihatan Temerloh dipindahkan dekat sini jadi senang untuk penghuni dirawat dan ambil ubat...keadaan di sini selesa, cukup makan minum semua,” katanya yang berkerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya hampir dua bulan lepas. - Bernama