BANGKOK - THAILAND. Kakak Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Ubolratana Rajakanya, akan bertanding jawatan perdana menteri dalam pilihan raya umum negara berkenaan yang dijadual berlangsung pada 24 Mac depan.
Perkara tersebut diumumkan parti Thai Raksa Chart hari ini susulan khabar angin bahawa puteri sulung Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit, berusia 68 tahun itu akan menceburi arena politik dengan membawa nama parti terbabit.
Parti Thai Raksa Chart merupakan cabang parti Pheu Thai yang ditubuhkan penyokong setia bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan kepimpinan utama United Front for Democracy Against Dictatorship (UDD) atau lebih dikenali sebagai 'Kumpulan Baju Merah', ia ditubuhkan bagi tujuan membantu parti Pheu Thai meraih undian.
"Parti Thai Raksa Chart mencalonkan Puteri Ubolratana Rajakanya sebagai calon tunggal.
"Beliau seorang yang berpengetahuan dan amat sesuai untuk jawatan perdana menteri. Saya yakin tidak akan ada sebarang masalah perundangan daripada segi kelayakan, namun kita harus menantikan pengesahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya," kata pemimpin parti Thai Raksa Chart, Preechapol Pongpanich sebaik mendaftarkan calon partinya.
Dikenali dengan nama 'La Poupée' bererti anak patung dalam bahasa Perancis, Puteri Ubolratana Rajakanya dilahirkan pada 5 April 1951 di Switzerland dan mempunyai tiga adik beradik, termasuk Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Maha Chakri Sirindhorn dan Puteri Chulabhorn.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha dilaporkan turut mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya akan datang, yang merupakan pilihan raya umum pertama di Thailand sejak rampasan kuasa oleh junta tentera Thailand yang berjaya menumbangkan pentadbiran Yingluck Shinawatra.
Perdana menteri itu menegaskan, tujuannya bertanding bukan untuk melanjutkan pemerintahan, sebaliknya ia dilakukan demi kepentingan negara dan rakyat.- CNA/Agensi