PORT DICKSON - Tapak pelupusan sampah di Cypark Resources Berhad Ladang Tanah Merah di sini, terbakar kira-kira jam 11 malam pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, seramai 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Seremban 2 dan Nilai terlibat dalam operasi memadam kebakaran di lokasi seluas seluas 60x40 meter persegi itu.
Bagaimanapun katanya, keadaan terkawal dan sehingga jam 9.30 pagi Isnin kerja-kerja memadam sisa kebakaran pada bahagian bawah sampah masih dilakukan.
"Api pada bahagian atas sampah sudah dipadamkan dan pemadaman di bahagian bawah sampah setinggi 10 meter.
"Sebuah jengkaut turut digunakan untuk mengorek sampah bagi tujuan memadam sisa kebakaran di bahagian bawah," katanya kepada Sinar Harian.