WCE akan kurangkan kadar kemalangan

Iklan
ABDUL YUNUS

IPOH - Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang dijadual siap dibina pada tahun hadapan mampu mengurangkan kadar kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Exco Kemudahan Awam, Infranstruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, ini kerana kenderaan berat yang berada di lebuhraya Plus dapat dikurangkan.

Menurutnya, kesesakan yang sering berlaku di lebuhraya Plus ketika musim perayaan dan hujung minggu juga dapat dikurangkan.

"Selain itu ia dapat mempercepatkan perjalanan pengguna jalan raya terutamanya kepada aktiviti logistik atau penghantaran oleh kenderaan perdagangan yang sensitif kepada ketepan masa, kualiti barang yang dibawa dan sebagainya.

"Laluan ini kelak akan menghubungkan terus Pelabuhan Klang di Selangor dan Pelabuhan Lumut di Perak," katanya ketika sesi soalan lisan Sidang Dun Perak, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Jamilah Zakaria (BN-Trong) dan soalan tambahan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kepayang).

Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata, WCE dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi sepanjang jajaran lebuhraya tersebut terutama kepada daerah Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung dan Larut Matang dan Selama termasuk kawasan Trong.

Katanya, antara impak lain yang boleh diperoleh termasuklah pembangunan pekan kecil melalui pembinaan susur keluar di sembilan lokasi di Perak iaitu Hutan Melintang, Teluk Intan, Lekir, Sitiawan (Utara), Sitiawan, Ayer Tawar, Beruas, Trong dan Taiping.

Beliau berkata, melalui pembukaan kawasan rehat dan rawat yang akan disediakan oleh pihak syarikat konsesi nanti, perusahaan-perusahaan kecil tempatan dapat memasarkan produk-produk mereka dan hasil pertanian dengan lebih giat.

Iklan
Iklan