RAMAI dalam kalangan kita menganggap wasiat adalah sesuatu yang tidak penting. Ini kerana rata-ratanya berpandangan pembahagian harta pusaka adalah terhad untuk waris-waris dan dibahagi melalui kaedah faraid sahaja.
Perlu difahami, para fuqaha telah bersepakat bahawa wasiat kepada ibu bapa dan kaum kerabat adalah wajib bagi orang yang mempunyai harta. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:"Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah: 180)
Wasiat sebenarnya adalah ikrar atau pengakuan seseorang untuk menyempurnakan pengagihan harta selepas kematian kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka.
Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah sebanyak satu pertiga daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan. Manakala, dua pertiga daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris untuk dibahagikan secara faraid.
Walaupun hukum berwasiat merupakan satu perbuatan sunat yang digalakkan, namun hukum berwasiat juga boleh berubah mengikut situasi seperti berikut:
Wajib
Wasiat menjadi wajib apabila seseorang mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan terutama yang berbentuk ‘hak ALLAH’ seperti zakat, kafarah dan haji yang dibimbangi tidak dapat ditunaikan sekiranya tidak diwasiatkan kepada seseorang untuk melaksanakannya. Begitu juga tanggungjawab berkaitan hak manusia seperti mempunyai harta yang diamanahkan kepadanya dan hutang yang belum diselesaikan.
Haram
Wasiat menjadi haram apabila seseorang mewasiatkan sesuatu perkara yang diharamkan oleh syarak atau bertujuan untuk memudaratkan ahli waris.
Harus
Wasiat menjadi harus jika dibuat kepada orang kaya sama ada daripada kaum kerabat atau mana-mana pihak dengan tidak mempunyai tujuan tertentu. Jika wasiat itu bertujuan untuk melakukan kebajikan dan menghubungkan tali silaturahim, maka ia menjadi sunat.
Makruh
Wasiat menjadi makruh jika pewasiat mempunyai harta yang sedikit namun pada masa yang sama mempunyai waris yang miskin yang sangat memerlukan harta. Demikian juga adalah tidak wajar memberikan wasiat kepada orang fasik atau orang yang sering melakukan maksiat kerana dibimbangi pemberian wasiat itu akan meningkatkan lagi kecenderungannya untuk melakukan maksiat.
***USTAZ INDERA SHAHRIL MOHD SHAHID merupakan Pengurus Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor