SUNGAI BESAR - Kerajaan Selangor merancang memperuntukkan sebanyak 3 hingga 5 juta dos pembelian vaksin Covid-19 bagi membolehkan penularan virus dikawal sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan Persekutuan selain membawa pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dijadualkan Rabu ini.
"Saya sedang usahakan sejak minggu lalu dan akan muktamadkan apabila semua urusan selesai," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Dataran Patriotik Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, langkah itu bagi memastikan kesihatan rakyat di negeri ini terus terjamin di samping memastikan bekalan vaksin Covid-19 mencukupi.
"Selangor perlu membeli (vaksin Covid-19) kerana membabitkan ramai pekerja industri industri termasuk pekerja asing.
"Setakat ini, vaksin Covid-19 disediakan kepada warganegara (namun) pekerja asing juga perlu membeli vaksin terbabit," katanya.
Ditanya mengenai langkah kerajaan Selangor berikutan mencatatkan bilangan kes Covid-19 harian tertinggi, Amirudin berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negeri pada minggu lalu.
Katanya, beberapa perancangan dan pelan tertentu masih dalam tindakan namun sebahagiannya perlu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita akan cuba membantu MKN kerana ketika ini suasana berbeza memandangkan Selangor dan beberapa negeri mencatatkan kes tertinggi terutama membabitkan pekerja kilang dalam kalangan warga asing.
"Sebelum ini mereka (pekerja asing) tidak disaring, apabila Selangor antara negeri mewajibkan pekerja asing disaring, akhirnya kita mendapat kes tinggi," katanya.
Malah, Amirudin mengakui penularan positif Covid-19 juga merebak dalam kalangan institusi kerajaan.
"Kita harus menyusun kembali strategi supaya sistem kesihatan kita mampu menampung dan mengawal penyakit ini dengan lebih berkesan," katanya.