Lebih 100,000 pekerja asing di Sabah belum jalani saringan Covid-19

Iklan
Wan Zulkifli (kiri) menyerahkan notis pemakluman untuk melakukan ujian saringan dalam tempoh 14 hari kepada pihak pengurusan kilang memproses makanan laut di Putatan.

PUTATAN - Hampir 115,000 pekerja asing yang digajikan majikan di Sabah masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, terdapat 7,578 majikan di seluruh Sabah dengan jumlah pekerja asing seramai 115,157 yang diwajibkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, hanya 700 majikan yang sudah melaksanakan ujian saringan Covid-19 sejak 16 Disember lalu melibatkan 3,200 pekerja asing.

"Jadi kita ada kira-kira 115,000 lagi di Sabah belum buat saringan dan memandangkan Sabah adalah negeri yang mencatat kes harian tertinggi, sebab itu kerajaan mahu memastikan majikan melaksanakan ujian saringan ini," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas melakukan operasi penguatkuasaan tanggungjawab majikan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 yang menggaji pekerja asing di sekitar Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, Wan Zulkifli meminta semua majikan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing yang digajikan syarikat bermula 11 Januari hingga 28 Februari depan.

Iklan

Katanya, ia susulan arahan daripada kerajaan yang mewajibkan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing dilakukan.

"Kami dari agensi penguatkuasaan iaitu JTK Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan lawatan terhadap semua premis yang menggajikan pekerja asing.

"Jika selepas 28 Februari majikan didapati tidak melakukan ujian itu maka pendakwaan boleh dibuat melalui Akta 342 di bawah peruntukkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No 9 2020 Perkara 10," katanya.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan setiap pekerja asing yang melakukan ujian saringan Covid-19 turut diberikan subsidi sebanyak RM60.

"Setiap pekerja asing akan diberi subsidi sebanyak RM60 dan selebihnya ditanggung majikan sendiri. Kewajiban ini perlu dibuat selepas kami menghubungi mereka atau membuat lawatan di premis.

"Namun cara terbaik, majikan boleh melayari laman sesawang JTK Sabah dan memaklumkannya serta borang turut disediakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Sabah, Dr Mohd Ali Hindia berkata, sebanyak RM5.5 juta disediakan kerajaan terhadap pekerja untuk menjalani ujian secara percuma dengan menggunakan kit RTK-Antigen.

"Majikan boleh melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing menerusi klinik panel di bawah Perkeso secara percuma," katanya.