180kg daun ketum ditinggal tepi jalan

Iklan
PGA Batalion 7 Kuantan merampas beberapa bungkusan daun ketum seberat 180kg di Jalan Kasban, berhampiran Jeram Perdah, Rantau Panjang.

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas beberapa bungkusan daun ketum seberat 180 kilogram (kg) di Jalan Kasban berhampiran Jeram Perdah di sini pada Isnin.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua bungkusan daun ketum itu dirampas pada jam 6 pagi ketika anggotanya melakukan rondaan rutin di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ketika melakukan rondaan, anggota telah ternampak beberapa bungkusan plastik hitam yang ditinggalkan di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati bungkusan itu mengandungi daun ketum," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.

Azhari berkata, rampasan ketum itu membabitkan nilai berjumlah RM5,400.

Iklan

"Siasatan awal mendapati kesemua daun ketum itu cuba diseludup masuk ke negara jiran menggunakan 'laluan tikus' bagi mengelakkan dicekup anggota PGA," katanya.

Beliau berkata, permintaan tinggi di negara berkenaan menjadi mendorong kepada aktiviti penyeludupan bahan terlarang itu.

Katanya, PGA akan terus memperhebatkan lagi rondaan dalam usaha membanteras aktiviti tersebut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.