SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) melantik Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan baharu bagi menggantikan Hizammuddin Jamalluddin berkuatkuasa 11 Januari 2021.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, pelantikan tersebut dilakukan setelah mengambil kira pengalaman dan kepakaran anggota dalamannya untuk menyandang jawatan dalam pengurusan kanan.
Menurutnya, langkah itu adalah selari dengan Pelan Rancangan Penggantian yang sedang dibangunkan oleh syarikatnya.
"Dengan pelantikan Mohamad Damshal, Pengurusan Kanan TH yakin kepakaran beliau dalam aspek pelaburan dapat membantu TH menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat mencabar berikutan kesan daripada wabak Covid-19.
"TH juga sedang menumpukan usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat pengurusan profesional selaras dengan matlamatnya untuk menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohamad Damshal merupakan Penganalisis Kewangan Bertauliah atau Chartered Financial Analyst (CFA) yang pernah menjadi Ketua Pegawai Pelaburan TH dan memiliki pengalaman lebih 27 tahun dalam industri pelaburan tempatan dan luar negara.
Selain itu, beliau juga adalah bekas anggota TH yang berkhidmat sejak tahun 1999 hingga 2003 dalam perancangan korporat dan mengetuai pengurusan pelaburan pendapatan tetap.
Pada masa sama, Nik Mohd turut melahirkan penghargaan kepada Hizamuddin yang telah memberikan komitmen dan menyumbangkan kepakarannya kepada Institusi Kewangan Islam tersebut.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Hizammuddin Jamalluddin yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut.
"Komitmen berterusan dan kepakaran yang beliau sumbangkan sememangnya amat berharga kepada TH dan kami ucapkan selamat maju jaya untuk kerjaya baharu beliau,” katanya.