16 belia, remaja terlibat kegiatan ah long takutkan peminjam

Iklan

SERDANG - Polis menahan 16 belia dan remaja termasuk enam perempuan dipercayai terlibat dalam aktiviti satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long, dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Puteri Puchong di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Razali Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia 16 hingga 23 tahun itu diupah oleh sindiket along untuk menakutkan peminjam yang gagal membayar pinjaman, dengan menyimbah cat dan melakukan ugutan.

Iklan
Iklan

"Suspek mengaku menerima upah RM500 bagi setiap 'projek' atau ugutan yang dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

Pemeriksaan di dalam premis menemui 25 buku resit persatuan kebajikan, 200 helai kertas yang mengandungi nama dan nombor kad pengenalan, telefon bimbit, komputer riba serta premis itu mendakwa menjalankan perniagaan menguruskan acara.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak tujuh bulan lepas, dan tidak terbabit dalam kegiatan kongsi gelap serta kesemua mereka akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok.

Kesemua suspek ditahan susulan laporan seorang lelaki berusia 44 tahun, berhubung kediamannya di Puncak Jalil disimbah cat dan diganggu oleh beberapa orang lelaki disyaki orang upahan ah long pada Jun tahun lepas.

Iklan

"Kita masih memburu seorang lagi rakan suspek yang disyaki terbabit dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun, ditahan di sebuah rumah di Balakong dan Saujana Utama, Sungai Buloh, selepas disyaki terbabit dalam kes samun sekitar Serdang dan Sepang.

Razali berkata, ketiga-tiga suspek ditahan pada 1 Januari lepas dan polis merampas dua buah motosikal disyaki dicuri, manakala sebuah motosikal kepunyaan suspek yang digunakan untuk menjalankan aktiviti samun di kawasan terbuka.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek akan menggunakan jaket berwarna hitam setiap kali melakukan aktiviti samun dan aktif sejak 10 bulan lepas.

"Hasil tangkapan ini, kita berjaya selesaikan 10 kes samun dan ragut di Serdang dan Kajang, serta antara mereka yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek yang direman 10 hari akan disambung reman hari ini untuk siasatan kes lain,” katanya. - Bernama