Pegawai Imigresen didakwa lagi 21 pertuduhan rasuah

Iklan
Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang didakwa atas satu tuduhan rasuah di Shah Alam, Selangor, Disember lalu, sekali lagi didakwa dengan 21 pertuduhan baharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang didakwa atas satu tuduhan rasuah di Shah Alam, Selangor, Disember lalu, sekali lagi didakwa dengan 21 pertuduhan baharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Isnin.

Tertuduh, Zulkifly Abd Za’par, 47, yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migram (ATIPSOM) JIM, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

Iklan
Iklan

Pendakwaan dilakukan di sebuah hospital swasta di sini di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun berikutan tertuduh sedang menerima rawatan akibat darah tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Zulkifly didakwa memperoleh secara rasuah bagi dirinya RM1,500 daripada Ahmad Takrim Mat Yusop melalui pihak ketiga, Noorashikin Radzali sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas satu kertas siasatan yang sedang disiasat Zulkifly.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Setia Tropika, di sini, pada 8 Disember 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua hingga 20, Zulkifly didakwa memperoleh suapan berjumlah RM55,000 menerusi dua akaun bank miliknya antara Julai 2018 dan Oktober tahun lalu.

Suapan tersebut sebagai dorongan melindungi dua buah syarikat untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit sebuah restoran di Kulai; di Taman Setia Tropika serta di Taman Nusa Perintis 2, di sini, antara 1 Julai 2018 dan 4 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) B Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat manakala Zulkifly tidak diwakili peguam.

Hakim Kamarudin menetapkan wang jaminan RM30,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri setiap bulan ke Ibu Pejabat SPRM bemula bulan depan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes itu.

Pada 22 Disember lalu, tertuduh didakwa di sebuah hospital swasta di Shah Alam, atas tuduhan rasuah sebanyak RM3,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan berhubung suatu siasatan, pada November 2019.

Pendakwaan di hadapan Hakim Azura Alwi itu dikendalikan di hospital berkenaan berikutan tertuduh menjalani rawatan darah tinggi dan sakit jantung. - Bernama