SJ182 tidak hantar isyarat kecemasan

Iklan
Beberapa lagi serpihan pesawat SJ182 yang ditemui dikumpulkan di pelabuhan Tanjung Priok di utara Jakarta pada Isnin. - Foto AFP

JAKARTA - Kru pesawat Sriwijaya Air, SJ182 yang terhempas di perairan di utara ibu negara Indonesia pada Ahad lalu didakwa tidak menghantar isyarat kecemasan atau melaporkan masalah teknikal sebelum ia terjunam ke dalam laut, menurut penyiasat pada Isnin.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih gagal untuk menjelaskan bagaimana pesawat Boeing 737 berusia 26 tahun itu boleh terhempas dalam tempoh kira-kira empat minit sejurus ia berlepas.

Iklan
Iklan

"Hanya maklumat yang dimuat turun daripada kotak hitam dapat memberi jawapan," kata jurucakap pasukan keselamatan yang menyertai Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tersebut.

Sementara itu, penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Nurcahyo Utomo berkata, rakaman perbualan dengan menara kawalan menunjukkan tiada perkara pelik berlaku ketika pesawat itu mula menjunam pada ketinggian kira-kira 3,000 meter dalam tempoh kurang 60 saat.

Iklan

"Ia seperti perbualan biasa dan tiada apa yang mencurigakan. Mereka juga tidak memaklumkan tentang sebarang insiden kecemasan," ujarnya.

Data awal mendapati pesawat yang membawa 62 penumpang itu mungkin tidak terjejas apabila ia terhempas ke dalam laut walaupun beberapa nelayan tempatan mendakwa mereka terdengar bunyi letupan kuat.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kedudukan kotak hitam pesawat Sri Wijaya Air berjaya dikesan

Cebisan tubuh manusia ditemui di lokasi nahas SJ182

Pesawat Sriwijaya Air terputus hubungan selepas berlepas

Juruterbang SJ182, Afwan, 54, juga merupakan bekas juruterbang pasukan tentera udara dan berpengalaman terbang selama beberapa dekad.

Ketika ini, pasukan penyelam masih berusaha mendapatkan perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan yang boleh memberi jawapan kepada punca tragedi itu.

Operasi SAR yang dilancarkan sejak Ahad disertai kira-kira 2,600 anggota penyelamat bersama puluhan bot dan helikopter berjaya mengumpulkan serpihan badan pesawat dan cebisan tubuh manusia yang ditemui di perairan Kepulauan Seribu yang mempunyai kedalaman kira-kira 23 meter.

Difahamkan, siasatan nahas itu dijangka mengambil masa beberapa bulan. - AFP