Masalah politik selesai jika PM milik UMNO

Iklan
Sekalipun ura-ura mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebagai langkah untuk mengukuhkan perpaduan PN dengan UMNO, masalah politik dalaman kerajaan itu tidak akan selesai sepenuhnya.

SHAH ALAM - Masalah politik melibatkan kerajaan hari ini hanya akan selesai sekiranya jawatan Perdana Menteri diberikan kepada UMNO.

Penganalisis politik daripada Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Kartini Aboo @ Khalid berkata, bagaimanapun usaha itu tidak dapat dilakukan kerana pemimpin UMNO yang berada dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebahagiannya terpalit dengan kes mahkamah.

Iklan
Iklan

"Mereka mahu ahli MKT yang dipilih sebagai Perdana Menteri tetapi nampak gayanya usaha itu tidak ke arah itu kerana mereka yang masih dalam MKT ini banyak yang terpalit dengan ‘kluster mahkamah’,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas adakah persengketaan politik dalam kerajaan hari ini akan berakhir sekiranya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada UMNO selepas dua ahli Parlimen daripada parti itu menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Iklan

Kartini menegaskan, sekalipun ura-ura mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebagai langkah untuk mengukuhkan perpaduan PN dengan UMNO, masalah politik dalaman kerajaan itu tidak akan selesai sepenuhnya.

Ini kerana menurut Kartini, Hishammuddin bukanlah ahli MKT seperti yang menjadi kelaziman pemerintahan UMNO sebagai kerajaan sebelum ini di mana ahli MKT memegang jawatan menteri berportfolio.

Iklan
Kartini

"Kalau kita dengar memang ramai orang UMNO tidak berpuas hati kerana selama 60 tahun dalam urus tadbir UMNO, mereka yang daripada MKT adalah mereka juga yang memegang jawatan sebagai menteri berportfolio.

"Siapa menteri, mereka juga adalah ahli MKT tetapi kelainan normal baharu kepada UMNO kali ini menimbulkan rasa tidak puas hari. Yang menjadi ahli MKT, walaupun menang tetapi tidak memegang jawatan menteri.

"Contoh yang bukan daripada MKT adalah Hishammuddin (Menteri Luar), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara), Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) tetapi mereka ini yang terpilih. Mungkin kerana pengalaman dan track record yang baik maka mereka dipilih memegang jawatan dalam kementerian,” katanya.

Seandainya Hishammuddin dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, Kartini melihat lantikan itu sebagai usaha Muhyiddin untuk terus bekerjasama dengan UMNO.

"Ini dilema yang saya kira orang Melayu perlu sedar terutama sekali ahli UMNO. Mereka kena bersedia menerima hakikat orang Melayu di luar sana sudah muak dengan perebutan kuasa dalaman UMNO sendiri. Mereka telah terlupa siapa musuh sebenar mereka. Masih lagi nak menangguk di air yang keruh. Berhentilah untuk berpolitiking.

"Cuma kalaulah Hishammuddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka usaha ke arah pengukuhan UMNO dan PN itu telah dibuka ruang dan peluang yang lebih baik untuk terus bermusyawarah sehingga mencapai kata sepakat yang lebih baik bagi melegakan ketegangan yang berlaku antara UMNO dan juga PN.

"Ini juga memberi jangka hayat yang panjang juga buat PN sementara menunggu tempoh matang untuk pilihan raya,” katanya.