KOTA BHARU - Rakyat Kelantan menerima baik penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.
Pekerja swasta, Azlishan Hamid, 44, berkata, PKPB bertepatan dengan keadaan semasa rekod jangkitan Covid-19 di Kelantan yang menunjukkan trend peningkatan ketika ini.
"Sebelum ini, apabila syarat pergerakan dilonggarkan, ramai perantau yang mengambil peluang pulang ke kampung, malah jumlah pelancong bercuti juga meningkat menyebabkan sedikit kesesakan.
"Apabila PKPB ini dilaksanakan, pergerakan akan terhad bukan sahaja membabitkan rakyat di Kelantan malah rakyat dari negeri lain juga tidak boleh mengunjungi negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, PKPB tersebut langkah baik walaupun dalam tempoh dua minggu penguatkuasaan membabitkan sesi persekolahan tahun 2021 yang ditetapkan bermula pada 20 Januari ini.
"Saya mempunyai tiga anak berusia 7, 9 dan 12 yang sudah pun sudah bersedia dengan persiapan persekolahan sejak dua minggu lalu dengan jumlah belanja lebih RM1,000.
"Sebagai ibu bapa, kami amat menerima baik keputusan kerajaan yang sememangnya betul bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan anak-anak yang bersekolah dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat melalui PKPB,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Spa negeri Kelantan, Rosnani Seman berkata, PKPB dijangka menjejaskan pendapatan perniagaannya lebih 40 peratus apabila pelanggan dengan sendiri berkurangan daripada mengunjungi spa diusahakannya.
"Rakyat kini memiliki kesedaran yang tinggi dan kami sebagai peniaga juga akur terhadap sebarang arahan daripada kerajaan demi kesejahteraan walaupun terpaksa menanggung kerugian.
"Pada masa sama SOP ketika PKPB ini akan terus dijaga dengan baik bagi membantu usaha kerajaan mengekang pandemik,” katanya.
Pengusaha kedai makan, Mohd Lokeman Yusof, 45, pula berkata, PKPB tersebut menjejaskan perniagaan yang baru hendak kembali meningkat naik.
"Baru-baru ini, kedai makan sudah mula dikunjungi pelanggan tetapi apakan daya apabila pendemik ini menyerang kembali menyebabkan PKBP dilaksanakan semula.
"Sebagai peniaga, kami perlu mencari jalan lain untuk meneruskan perniagaan dan membayar gaji pekerja seperti mengubah waktu operasi kedai makan dengan mengikut SOP yang dibenarkan di negeri ini iaitu sehingga jam 9.30 malam sahaja,” katanya.