JOHOR BAHRU - Mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 3,598 orang daripada 996 keluarga setakat jam 8 pagi pada Selasa.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu menunjukkan pengurangan berbanding 3,612 daripada 1,001 keluarga pada jam 8 malam Isnin.
"Sebanyak 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di tujuh daerah melibatkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Segamat, Mersing, Pontian dan Kluang.
"Daerah yang paling ramai menempatkan mangsa banjir di PPS setakat ini adalah di Kota Tinggi berjumlah 2,193 daripada 591 keluarga. Mereka ditempatkan di sekolah dan dewan di 23 PPS.
"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan bekalan makanan di semua PPS seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Sementara itu, beliau berkata, air pasang terus berlaku di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup, Pontian pada pagi hingga malam Selasa.
Jelasnya, air pasang berlaku di Tanjung Sedili pada jam 8 pagi dan 10.30 malam dengan ketinggian 193 dan 269 meter (M), Johor Bahru jam 4.22 pagi dan 10.14 pagi (149 dan 303M) dan Kukup jam 10.07 pagi dan 11.39 malam (357 dan 265M).