SHAH ALAM - Pemuda Pas mengecam langkah yang dilakukan oleh ahli Parlimen yang boleh mencetuskan spekulasi terhadap keutuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin menyeru pemimpin politik supaya melakukan gencatan serangan politik di antara satu sama lain.
Iklan
Iklan
Tambahnya, ahli Parlimen sepatutnya berusaha membantu rakyat yang terkesan dengan bencana banjir dan menyelamatkan rakyat daripada wabak Covid-19.
"Saya mengecam keras langkah politik yang dilakukan oleh mana-mana ahli Parlimen terutama pihak kerajaan yang boleh mencetuskan spekulasi terhadap keutuhan kerajaan Perikatan Nasional. Kita sedang berhadapan dengan bencana banjir besar dan wabak Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Khairil Nizam memberi penghargaan kepada kerajaan kerana mengambil tindakan yang tegas demi nyawa dan keselamatan barisan hadapan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa 13 Januari ini.
Tambahnya, Pemuda Pas mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di atas usaha mendapatkan vaksin Pfizer fasa pertama kepada rakyat.
"Kami mengharapkan agar Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dapat memastikan usaha-usaha pengagihan vaksin tersebut kepada 20-30 juta rakyat Malaysia dapat dilakukan dengan secepat mungkin dan berkesan,” katanya.