Gara-gara ugut bunuh bekas isteri di WhatsApp

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan didenda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mengugut untuk membunuh bekas isterinya melalui pesanan ringkas aplikasi WhatsApp, Isnin lepas.

Majistret Rahni Kartini Abd Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zamri Mohd Yunus, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp dengan mengancam hendak membunuh bekas isterinya Marina Ibrahim, 38, seorang pembantu peribadi dengan niat menyebabkan mangsa berasa takut.

Mohd Zamri dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Seksyen 4 Wangsa Maju, di sini, pada 8.32 pagi, 4 Februari lepas mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun atau denda atau kedua-duanya.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menanggung tiga anak. - Bernama

Iklan