GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin menyeru komitmen semua pihak untuk tempoh 100 hari akan datang bagi memastikan vaksinasi Covid-19 terhadap pekerja kesihatan dan golongan berisiko tinggi di semua negara dapat dimulakan.
Pada satu sidang webinar mingguan, Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata setahun lalu, kematian pertama Covid-19 dilaporkan, lapor Agensi Anadolu.
"Setahun kemudian, terdapat hampir dua juta kematian akibat Covid-19, dan sementara berharap vaksin yang selamat dan berkesan dilancarkan, kami mahu ia disegerakan dan vaksin akan diperuntukkan secara adil pada beberapa minggu akan datang.
"Saya meminta komitmen bersama agar dalam 100 hari ke depan, vaksinasi untuk pekerja kesihatan dan mereka yang berisiko tinggi di semua negara dapat diagihkan," katanya.
Penasihat kanan WHO, Dr. Bruce Aylward, berkata:"Lebih 40 negara telah memulakan vaksinasi Covid-19. Namun, setakat ini hampir kesemuanya adalah di negara berpendapatan tinggi atau berpendapatan sederhana.
"Kita harus melihat vaksin digunakan di negara berpendapatan rendah dan menengah."
"Lebih 40 negara sekarang mulai melakukan vaksinasi Covid-19 dengan menggunakan lima vaksin berbeza.
Menurutnya WHO sedang berusaha mempercepat pelaksanaan vaksin melalui kemudahan COVAX, bagi mendapatkannya untuk negara-negara Advance Market Commitment (AMC) berpendapatan rendah dan menengah, 92 negara di Afrika, Amerika dan Asia.
Aylward berkata, WHO berharap ia dapat dilakukan pada Februari namun memerlukan kerjasama pengeluar vaksin untuk mengutamakannya.
Beliau menambah terdapat juga keperluan untuk kerjasama dan bantuan kewangan.
"Kami memerlukan kerjasama pembekal utama untuk memastikan kami memiliki data yang diperlukan dan vaksin ini dapat memenuhi semua kriteria keberkesanan, keselamatan dan kualiti." - Bernama