JERANTUT- Syarikat Caliphs Global (M) Sdn Bhd turut tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di negeri ini melalui sumbangan 500 pek lampin bayi pakai buang jenama Bebimora di beberapa buah Kampung di Ulu Tembeling di sini pada Isnin.
Pengasasnya, Intan Maziah Ismail berkata, sumbangan bernilai kira-kira RM16,000 itu antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mangsa banjir di negara ini.
Menurutnya, selain di Pahang, syarikat itu turut mengambil inisiatif sama di Johor dan Terengganu.
"Lampin pakai buang jenama Bebimora ini baru sahaja dilancarkan pada 31 Ogos tahun lalu.
"Memang masih ramai kurang mengenali jenama lampin pakai buang Muslim yang pertama di negara ini dan setanding dengan jenama antarabangsa.
"Selain itu ia juga bebas klorin dan sangat bagus untuk anak-anak yang memiliki kulit sensitif seperti ekzema," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Intan, setiap pembelian jenama itu, syarikatnya menginfakkan lapan hingga 10 peratus bagi tujuan amal seperti bencana alam.
"Selain lampin pakai buang, Bebimora juga mengagihkan barangan keperluan asas, wang tunai hasil sumbangan keluarga besar Bebimora yang terdiri daripada stoki, pengedar serta pengguna jenama ini.
"Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa selain dapat memperkenalkan jenama Bebimora kepada pengguna," katanya.
Sementara itu, mangsa banjir, Muhammad Shukri Zaid, 47, menghargai sumbangan syarikat tersebut
"Kami amat berbesar hati dengan sumbangan ini yang dapat mengurangkan beban mangsa banjir," katanya.