KUALA KANGSAR - Kemalangan sebuah kereta di Jalan Kampung Banjir, di sini, hari ini, membongkarkan aktiviti dua individu apabila polis menemui 10 kilogram daun ketum yang disembunyikan dalam but kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, polis bertindak menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pemandu dan penumpang kereta tersebut.
"Pada jam 6 pagi itu, anggota unit peronda bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti menerima maklumat ada sebuah kereta terlibat dalam kemalangan di jalan Kampung Banjir ke Jalan Raja Idris di sini.
"Setibanya di lokasi kejadian, kedua-dua suspek berusia 25 dan 22 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.
Menurutnya, curiga dengan keadaan itu, polis menjalankan pemeriksaan dan menjumpai daun ketum yang diletakkan dalam dua plastik sampah berwarna hitam.
"Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan bekerja sebagai buruh binaan manakala wanita terbabit bekerja sebagai operator pengeluaran wanita di Jelapang, Ipoh.
"Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek negatif dadah serta tiada rekod kesalahan lampau. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar menahan dua lelaki berusia 33 dan 40 tahun di Kampung Bendang Ujib Kati di sini.
Razali berkata, kedua-dua penganggur itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dan menemui dadah dipercayai heroin seberat 5.07 gram.
"Serbuan pada jam 12.10 tengah malam itu menemui dadah berkenaan bersama kertas timah dan gulungan kertas disyaki alat untuk menghisap dadah serta satu pemetik api.
"Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif morfin. Mereka juga mempunyai rekod dalam kesalahan membabitkan dadah. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.