Hanya pelajar kelas peperiksaan di negeri PKP hadir ke sekolah

Iklan
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin ditemui dalam sebuah sidang media mengenai pengumuman pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Damansara, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sesi persekolahan tahun 2021 tetap bermula pada 20 Januari ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di beberapa negeri susulan penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bagaimanapun hanya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara di negeri-negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, calon yang mengambil peperiksaan awam yang tinggal di asrama di negeri PKP boleh mula kembali ke asrama masing-masing mulai 16 Januari.

"Sebarang pergerakan dari rumah ke sekolah yang menuntut mereka untuk merentas negeri atau daerah akan diberikan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan

"Bagi murid-murid yang lain negeri PKP iaitu di sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat, serta pelajar-pelajar di Kolej Vokasional semester 2, SVM dan DVM 2020 mereka akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PnPR) terlebih dahulu," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan, bagi negeri PKPB dan PKPP semua murid perlu hadir ke sekolah kecuali murid Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga negeri tersebut yang perlu melaksanakan PnPR sehingga 8 Mac 2021 bagi memberi laluan kepada murid SPM 2020.

Iklan

"Bagi semua murid Matrikulasi pula mereka akan melaksanakan pembelajaran secara hibrid (gabungan antara pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka).

"Bagi institut pendidikan guru, semua pelajar negeri PKPB dan PKPB perlu menjalani pembelajaran bersemuka manakala pelajar negeri PKP melalui PnPR," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa sekolah dibuka, Radzi berkata, semua guru perlu kembali ke tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

Katanya, ini termasuk bagi guru yang terlibat dalam pengurusan peperiksaan, kelas peperiksaan dan guru-guru lain yang diarahkan oleh ketua jabatan masing-masing.

"Bagaimanapun pertimbangan sedia dilakukan oleh jabatan sekiranya terdapat guru-guru yang mempunyai masalah kesihatan namun perlu dibuktikan dengan laporan perubatan.

"Kehadiran anggota kumpulan pelaksana ini tertakluk kepada arahan ketua jabatan dan mengikut garis panduan semasa," katanya.

Berkenaan operasi institusi pendidikan swasta, Mohd Radzi menjelaskan operasi secara bersemuka hanya dibenarkan untuk kumpulan murid yang mengambil peperiksaan dan tadika swasta bagi semua negeri.

"Kita benarkan operasi tadika swasta termasuk di negeri PKP mengambil kira konteks keperluan ibu bapa menghantar anak ke tadika kerana kali ini telah banyak sektor ekonomi dibuka berbanding PKP pada Mac.

"Tentang kebimbangan ibu bapa, kita serahkan kepada ibu bapa untuk buat keputusan sama ada hantar atau tidak berdasarkan konteks kesihatan dan sebagainya. Tapi dalam konteks keperluan kita benarkan operasi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum PKP bersasar mulai 13 Januari

Murid sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Empat ikuti PdPR

PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari