SEREMBAN - Jika pada kali pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), ramai yang mengeluh kerana sukar mendapatkan bekalan roti, tetapi tidak lagi pada kali ini.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit dan pasar raya di daerah ini pada Selasa mendapati kebanyakan rak roti masih penuh malah pembelian secara panik barangan keperluan juga tidak berlaku dan keadaan dilihat terkawal.
Seorang pekerja kedai serbaneka yang hanya ingin dikenali sebagai Ina, 23, berkata, stok roti baharu telah pun dihantar pada jam 9 pagi tadi dan sehingga jam 1 tengah tengah hari stok tersebut masih mencukupi.
"Jika petang semalam (Isnin) selepas pengumuman pelaksanaan PKP, memang ramai pelanggan datang cari roti dan ada yang beli sehingga empat bungkus.
"Saya rasa keadaan itu mungkin berlaku bila pengumuman PKP dilaksanakan semula. Tapi setakat hari ini saya tengok tiada pembelian panik daripada pelanggan," katanya kepada Sinar Harian.
Begitu juga peniaga K Letcumi, 48, yang mendapati kebanyakan pelanggan yang datang ke kedainya sejak pagi tadi akan membeli roti.
Bagaimanapun katanya, bekalan roti di kedainya masih ada dan pelanggan tidak perlu risau.
"Masa kali pertama PKP, orang panik takut bekalan makanan tak cukup dan sebab itu masing-masing membeli dalam kuantiti yang banyak.
"Tapi sekarang orang sudah belajar dari pengalaman," katanya.
Sementara itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ain Arjuna Aziz Zaman ketika dihubungi Sinar Harian turut mengesahkan tiada pembelian panik yang berlaku di negeri ini.